Tanda Hati Yang Mati


Berkata Syaikh Ibnu Athoillah dalam matan hikamnya yang masyhur itu:
“Diantara tanda matinya hati adalah tidak ada perasaan sedih atas ketaatan yang kamu tinggalkan dan tidak ada perassan menyesal atas kesalahan yang kamu lakukan”
Duhai sahabat, tanda-tanda hati itu mati ialah dia tidak merasai gelisah apabila tertinggal menjalani ibadah dan tidak punya rasa sesal dalam melakukan maksiat. Maka jelas, hati yang hidup ialah sebaliknya iaitu merasa gelisah tatkala melakukan kemaksiatan dan merasa senang melakukan ketaatan.
Ibnu Mas’ud r.a berkata:
“Orang mukmin bila melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah gunung, takut jika puncak gunung runtuh lalu menimpa mereka. Sementara orang munafik jika melihat dosa-dosanya bagaikan melihat lalat yang hinggap di hidungnya lalu diusir.”
Sabda Nabi s.a.w:
*من سرته حسنته و ساءته سيءته فهو موءمن*
“Sesiapa yang menyukakannya oleh kebajikannya (ketaatannya) dan merasa keburukan oleh kejahatannya, maka dia orang beriman” (Diriwayatkan Bukhari, Ahmad dan Abu Yaala)
Jika hamba itu sudah tidak bersifat demikian dan tiada berdukacita pada apa yang telah tertinggal daripadanya dan tiada menyesal atas maksiat yang melanda dirinya, ketahuilah hatinya sudah mati. Ini kerana, amalan yang baik itu tandanya diredhai Allah dan amalan yang jahat itu tanda ia dibenci oleh-Nya.
Kata Tok Pulau Manis dalam Syarah hikam melayunya:
“Maka dalam keadaan hati itu hidup, kuatlah harapannya (Raja’)
dalam bersunguh-sungguh pada mengerjakan segala ketaatan dan kuatlah takutnya (khauf) dalam bersungguh-sungguh pada menjauhkan segala maksiat daripadanya”
Kata Tok Pulau Manis lagi, ubat bagi yang mati ialah TIGA perkara:
(1) Berzikir dengan kuat yang berterusan
(2) Menghadirkan dalam hati apa yang dijanjikan kepada sekelian ahli maksiat
(3) Banyak mendengar pengajaran yang menipiskan kegelapan hati.
Moga kita dijauhkan dari kelompok manusia yang mati hatinya!
Sumber dari Tinta Sufi
https://www.facebook.com/pondokhabib/photos/a.422328956998.217003.295419981998/10154116736001999/?type=3