Allah ada tanpa tempat

PENJELASAN BAHAWA TIDAK BOLEH BERKATA: "ALLAH DI SETIAP TEMPAT ATAU DI MANA-MANA"
Keyakinan Islam Allah ada tanpa tempat dan arah yang disebut oleh para ulama Islam sama ada salaf dan khalaf bukan sahaja menafikan Allah taala berada di suatu tempat bahkan menafikan Allah taala berada di semua tempat kerana Allah taala yang menciptakan tempat dan Dia sesekali tidak memerlukan tempat dan arah. Allah taala tidak bersifat berubah-ubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain sebelum dan setelah Dia menciptakan tempat.
Ketahuilah bahawa seseorang itu tidak boleh berkata: _“Allah di setiap tempat atau di mana-mana”_ meskipun dia memahami dari ungkapan yang _fasid_ ini dengan makna bahawa Allah maha mengetahui segala sesuatu. Berikut adalah dalil larangan tersebut:
Al-Mutakallim al-Imam Ibn Furak al-Asy^ari (w. 407 H) berkata dalam kitabnya Mushkilul-Hadith[1]:
ﺍﻋﻠﻢ ﺃﻥ ﺍﻟﺜﻠﺠﻲ ﻛﺎﻥ ﻳﺬﻫﺐ ﻣﺬﻫﺐ ﺍﻟﻨﺠﺎﺭ ﻓﻲ ﺍﻟﻘﻮﻝ ﺑﺄﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﻭﻫﻮ ﻣﺬﻫﺐ ﺍﻟﻤﻌﺘﺰﻟﺔ ﻭﻫﺬﺍ ﺍﻟﺘﺄﻭﻳﻞ ﻋﻨﺪﻧﺎ ﻣﻨﻜﺮ ﻣﻦ ﺃﺟﻞ ﺃﻧﻪ ﻻ ﻳﺠﻮﺯ ﺃﻥ ﻳﻘﺎﻝ ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻓﻲ ﻣﻜﺎﻥ ﺃﻭ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ
Maksudnya:
_“Ketahuilah bahawa al-Thalji pernah berpegang dengan aliran al-Najjar berhubung pendapat yang mengatakan bahawa Allah itu berada di setiap tempat, dan ini juga aliran golongan al-Muktazilah. Takwilan ini di sisi kami adalah mungkar kerana tidak harus dikatakan bahawa Allah taala itu berada di suatu tempat atau berada di setiap tempat”_. Intaha.
Al-Mutakallim Ibn Furak berkata lagi[2]:
ﻓﻤﺘﻰ ﻣﺎ ﺭﺟﻌﻮﺍ ﻓﻲ ﻣﻌﻨﻰ ﺇﻃﻼﻕ ﺫﻟﻚ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻌﻠﻢ ﻭﺍﻟﺘﺪﺑﻴﺮ ﻛﺎﻥ ﻣﻌﻨﺎﻫﻢ ﺻﺤﻴﺤًﺎ ﻭﺍﻟﻠﻔﻆ ﻣﻤﻨﻮﻋًﺎ ﺃﻻ ﺗﺮﻯ ﺃﻧﻪ ﻻ ﻳﺴﻮﻍ ﺃﻥ ﻳﻘﺎﻝ ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻣﺠﺎﻭﺭ ﻟﻜﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﺃﻭ ﻣﻤﺎﺱ ﻟﻪ ﺃﻭ ﺣﺎﻝ ﺃﻭ ﻣﺘﻤﻜﻦ ﻓﻴﻪ ﻋﻠﻰ ﻣﻌﻨﻰ ﺃﻧﻪ ﻋﺎﻟﻢ ﺑﺬﻟﻚ ﻣﺪﺑﺮٌ ﻟﻪ
Maksudnya:
_“Maka apabila mereka mengembalikan makna ungkapan itu kepada ilmu dan tadbir maka makna (yang dimaksudkan) mereka itu adalah sahih manakala lafaz pula dilarang. Bukankah kamu melihat bahawa tidak harus untuk berkata bahawa Allah taala itu bersebelahan bagi setiap tempat, atau bersentuhan dengan setiap tempat, atau meresap di setiap tempat, atau bertempat di setiap tempat dengan makna bahawa Dia mengetahui dan mentadbir setiap tempat?”._ Intaha.
Al-Imam al-Hafiz Abu Bakr al-Baihaqi al-Syafi^i al-Asy^ari (w. 458 H) berkata dalam kitabnya _al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rasyad_[3]:
ﻭﻓﻴﻤﺎ ﻛﺘﺒﻨﺎ ﻣﻦ ﺍﻵﻳﺎﺕ ﺩﻻﻟﺔ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﻄﺎﻝ ﻗﻮﻝ ﻣﻦ ﺯﻋﻢ ﻣﻦ ﺍﻟﺠﻬﻤﻴﺔ ﺃﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ ﺑﺬﺍﺗﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﻭﻗﻮﻟﻪ ﻋﺰ ﻭﺟﻞ : )) ﻭَﻫُﻮَ ﻣَﻌَﻜُﻢْ ﺃَﻳْﻦَ ﻣَﺎ ﻛُﻨﺘُﻢْ (( ﺇﻧﻤﺎ ﺃﺭﺍﺩ ﺑﻪ ﺑﻌﻠﻤﻪ ﻻ ﺑﺬﺍﺗﻪ
Maksudnya:
_“Dalam ayat-ayat yang telah kami tulis itu ada pendalilan bagi membatalkan pendapat orang yang menyangka dalam kalangan al-Jahmiyyah bahawa Allah subhanahu wa-ta^ala itu berada di setiap tempat dengan zat-Nya. Firman Allah ^azza wa-jall: ﻭَﻫُﻮَ ﻣَﻌَﻜُﻢْ ﺃَﻳْﻦَ ﻣَﺎ ﻛُﻨﺘُﻢْ sebenarnya bermaksud dengan ilmu-Nya bukannya dengan zat-Nya”._ Intaha.
Hujjatul-Islam al-Syaikh Abu Hamid al-Ghazali al-Syafi^i al-Asy^ari (w. 505 H) berkata bagi menyanggah Jahm ibn Safwan yang merupakan salah seorang daripada pemuka-pemuka ahli bidaah dalam kitabnya _al-Arba^in fi Usulid-Din_[4]:
ﻭﻻ ﺗﺮﺗﺒﻚ ﻓﻲ ﻣﻮﺍﻗﻊ ﻏﻠﻄﻪ ﻓﻤﻨﻪ ﻏﻠﻂ ﻣﻦ ﻗﺎﻝ : ﺇﻧﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ . ﻭﻛﻞ ﻣﻦ ﻧﺴﺒﻪ ﺇﻟﻰ ﻣﻜﺎﻥ ﺃﻭ ﺟﻬﺔ ﻓﻘﺪ ﺯﻝّ ﻓﻀﻞّ
Maksudnya:
_“Jangan kamu merasa keliru pada tempat-tempat kesalahannya. Antaranya ialah kesalahan orang yang berkata bahawa Dia (Allah) itu berada di setiap tempat. Setiap orang yang menyandarkan tempat atau arah kepada-Nya, maka dia telah menyeleweng dan sesat...”_. Intaha.
Ibn Kathir (w. 774 H) berkata dalam kitabnya _Tafsir al-Qur’anil-^Azim_[5]:
ﺍﺗﻔﻖ ﺍﻟﻤﻔﺴﺮﻭﻥ ﻋﻠﻰ ﺇﻧﻜﺎﺭ ﻗﻮﻝ ﺍﻟﺠﻬﻤﻴﺔ ﺍﻷﻭﻝ ﺍﻟﻘﺎﺋﻞ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻋﻦ ﻗﻮﻟﻬﻢ ﻋﻠﻮًّﺍ ﻛﺒﻴﺮًﺍ ﺑﺄﻧﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ
Maksudnya:
_“Ulama tafsir bersepakat dalam mengingkari pendapat al-Jahmiyyah terawal yang berkata – Maha suci Allah dari pendapat mereka ini – bahawa Allah itu berada pada setiap tempat”._ Intaha.
Al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani al-Syafi^i al-Asy^ari (w. 852 H) dalam kitabnya Fathul-Bari[6]:
ﻭﻗﺪ ﻧﺰﻉ ﺑﻪ ﺑﻌﺾ ﺍﻟﻤﻌﺘﺰﻟﺔ ﺍﻟﻘﺎﺋﻠﻴﻦ ﺑﺄﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﻭﻫﻮ ﺟﻬﻞ ﻭﺍﺿﺢ ﻭﻓﻴﻪ – ﺃﻱ ﻓﻲ ﺣﺪﻳﺚ : ‏( ﺇﻥ ﺃﺣﺪﻛﻢ ﺇﺫﺍ ﻗﺎﻡ ﻓﻲ ﺻﻼﺗﻪ ﻓﺈﻧﻪ ﻳﻨﺎﺟﻲ ﺭﺑّﻪ ﺇﻥ ﺭﺑّﻪ ﺑﻴﻨﻪ ﻭﺑﻴﻦ ﺍﻟﻘﺒﻠﺔ ‏) – ﺍﻟﺮﺩّ ﻋﻠﻰ ﻣﻦ ﺯﻋﻢ ﺃﻧﻪ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻌﺮﺵ ﺑﺬﺍﺗﻪ
Maksudnya:
_“Sesungguhnya hadis ini dipertikai oleh sebahagian golongan al-Muktazilah yang berkata bahawa Allah itu berada di setiap tempat, sedangkan ini suatu kejahilan yang nyata. Di dalamnya – iaitu dalam hadis ( ﺇﻥ ﺃﺣﺪﻛﻢ ﺇﺫﺍ ﻗﺎﻡ ﻓﻲ ﺻﻼﺗﻪ ﻓﺈﻧﻪ ﻳﻨﺎﺟﻲ ﺭﺑّﻪ ﺇﻥ ﺭﺑّﻪ ﺑﻴﻨﻪ ﻭﺑﻴﻦ ﺍﻟﻘﺒﻠﺔ ) - ada sanggahan terhadap sesiapa yang menganggap bahawa Dia di atas Arasy dengan zat-Nya”._ Intaha.
Al-Syaikh ^Abdul-Wahhab ibn Ahmad al-Sya^rani berkata dalam kitabnya _al-Yawaqit wal-Jawahir_[7]:
ﻻ ﻳﺠﻮﺯ ﺃﻥ ﻳﻘﺎﻝ ﺇﻧﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﻛﻤﺎ ﺗﻘﻮﻝ ﺍﻟﻤﻌﺘﺰﻟﺔ ﻭﺍﻟﻘﺪﺭﻳﺔ
Maksudnya:
_“Tidak boleh dikatakan bahawa Dia (Allah) taala itu di berada pada setiap tempat seperti yang dikatakan oleh golongan al-Muktazilah dan al-Qadariyyah”_. Intaha.
Al-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata dalam kitabnya _Tuhfatur-Raghibin_ :
_"(Adapun) kaum Jahmiyyah maka iaitu dua belas kaum... (Dan setengah) mereka itu adalah iktikadnya bahawa haq Allah ta^ala itu maujud pada tiap-tiap tempat atas wajah halwan dan ittihad, (maka) iktikad yang demikian itu kufur (karena) memgithbatkan tempat dan ta^addud bagi haq Allah ta^ala.."._ Intaha.
Amat mengecewakan, penyelewengan aqidah seperti ini juga ada di dalam tulisan Sayyid Qutb iaitu dalam karangannya _Fi Zilalil-Qur’an_ ketika mentafsir ayat 4 surah al-Hadid: (( ﻭَﻫُﻮَ ﻣَﻌَﻜُﻢْ ﺃَﻳْﻦَ ﻣَﺎ ﻛُﻨﺘُﻢْ )) dia berkata[9]:
ﻭﻫﻮ ﻛﻠﻤﺔ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﺤﻘﻴﻘﺔ ﻻ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻜﻨﺎﻳﺔ ﻭﺍﻟﻤﺠﺎﺯ . ﻓﺎﻟﻠﻪ ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻣﻊ ﻛﻞ ﻭﺍﺣﺪ ﻭﻣﻊ ﻛﻞ ﺷﻲﺀ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻭﻗﺖ ﻭﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ
Maksudnya:
_“Dan ia suatu kalimah yang menurut hakikat bukannya menurut kinayah (sindiran makna) dan majaz (metafora). Maka Allah subhanahu bersama setiap orang dan bersama setiap sesuatu, pada setiap waktu dan berada di setiap tempat”_. Intaha.
Ini suatu kejahilan nyata. _Inna liLlah wa inna ilayhi raji^un_... Allah maha suci dari segala sifat yang disifatkan oleh kaum yang zalim...
*Faedah:*
Al-Hafiz al-Muhaddith al-^Arif biLlah al-Syaikh Abdullah al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya _al- Siratul-Mustaqīm_ [10]:
ﻭﺣﻜﻢ ﻣﻦ ﻳﻘﻮﻝ " ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻣﻜﺎﻥ ﺃﻭ ﻓﻲ ﺟﻤﻴﻊ ﺍﻷﻣﺎﻛﻦ " ﺍﻟﺘﻜﻔﻴﺮ ﺇﺫﺍ ﻛﺎﻥ ﻳﻔﻬﻢ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺍﻟﻌﺒﺎﺭﺓ ﺃﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺑﺬﺍﺗﻪ ﻣﻨﺒﺚ ﺃﻭ ﺣﺎﻝٌّ ﻓﻲ ﺍﻷﻣﺎﻛﻦ، ﺃﻣﺎ ﺇﺫﺍ ﻛﺎﻥ ﻳﻔﻬﻢ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺍﻟﻌﺒﺎﺭﺓ ﺃﻧﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻣﺴﻴﻄﺮ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺷﻲﺀ ﻭﻋﺎﻟﻢ ﺑﻜﻞ ﺷﻲﺀ ﻓﻼ ﻳﻜﻔﺮ، ﻭﻫﺬﺍ ﻗﺼﺪ ﻛﺜﻴﺮ ﻣﻤﻦ ﻳﻠﻬﺞ ﺑﻬﺎﺗﻴﻦ ﺍﻟﻜﻠﻤﺘﻴﻦ، ﻭﻳﺠﺐ ﻋﻨﻬﻤﺎ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺣﺎﻝ، ﻷﻧﻬﻤﺎ ﻟﻴﺴﺘﺎ ﺻﺎﺩﺭﺗﻴﻦ ﻋﻦ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﺑﻞ ﻋﻦ ﺍﻟﻤﻌﺘﺰﻟﺔ ﺛﻢ ﺍﺳﺘﻌﻤﻠﻬﻤﺎ ﺟﻬﻠﺔ ﺍﻟﻌﻮﺍﻡ . ﺍﮪ
Maksudnya: _" Hukum orang yang berkata_ "Allah ta^ala berada di semua tempat atau berada di tempat-tempat" _adalah dihukumkan kufur jika dia memahami daripada ungkapan ini bahawa Allah dengan zat-Nya tersebar atau menyerap di tempat-tempat. Adapun jika dia memahami daripada ungkapan ini bahawa Allah ta^ala menguasai segala sesuatu dan mengetahui segala sesuatu maka tidak dihukumkan kufur. Dan inilah (makna kedua) yang dimaksudkan oleh ramai orang yang melafazkan dua kalimah tersebut. (Walaupun begitu) wajib melarang dari menuturkan kedua-duanya dalam apa jua keadaan sekalipun kerana kedua-dua ungkapan tersebut tidak terbit daripada Salaf bahkan berasal daripada golongan Muktazilah, kemudian dua kalimah tersebut digunakan oleh orang jahil dalam kalangan orang awam"_ Intaha.
___________________________
[1] Ibn Furak, _Musykilul-Hadith_, Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 63.
[2] Ibid, hlm. 65 – 66.
[3] Al-Baihaqi, _al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rasyad_, ^Alam al-Kutub, Beirut, hlm. 70.
[4] Al-Ghazali, _al-Arba^in fi Usulid-Din_, Dar al-Afaq al-Jadidah, Beirut, hlm. 198.
[5] Ibn Kathir, _Tafsir al-Qur’anil-^Azim_, Dar al-Andalus, Beirut, jil. 3, hlm. 7.
[6] Ibn Hajar al-^Asqalani, _Fathul-Bari bi-Syarh Şohihil-Bukhari_, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 1, hlm. 508.
[7] Al-Sya^rani, _al-Yawāqit wal-Jawāhir fī Bayān ^Aqa'idil-Akābir_, Mustofa al-Babi al-Halabi, Mesir, j. 1, hlm. 65.
[8] Al-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, _Tuhfatur-Raghibin fi Bayan Haqiqah Imanil-Mu'minin_, al-Haramain, Singapura - Jeddah, hlm. 13.
[9] Sayyid Qutb, _Fi Żilalil-Qur’an_, Dar al-Syuruq, jil. 6, juz. 27, hlm. 3481.
[10] Al-Syaikh ^Abdullah al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya _al- Siratul-Mustaqīm_, Darul-Masyari^, Beirut, hlm. 39.
✒ Disediakan oleh:
Kajian Ilmiah Ahlis-Sunnah